Menyayat Hati!! Luahan Wanita Ini yang Dihalau Dari Rumah Sendiri Selepas Menjanda

TIDAK ada wanita yang mahu hidupnya bermadu. Tetapi jodoh pertemuan bukan di tangan saya. Puas saya tolak permintaan Arif tetapi sia-sia. Kami kahwin juga akhirnya. Permintaan saya agar Ariff tidak sia-siakan isteri pertama dan anak-anaknya. Memang dia berlaku adil. Dia tidak kurangkan apa yang diberikan kepada isteri-isterinya. Itu cerita Norashikin dalam pertemuan dengan kumpulan ibu tunggal baru-baru ini.
”Namun sebagai isteri kedua, saya sedar walau bagaimana baik dan ikhlasnya saya, tidak mungkin saya diterima oleh keluarga madu. Arif berjanji akan berusaha membaikkan kami setelah bernikah. Dia janji setelah bernikah di Siam, akan daftarkan di tempat kami tinggal di Shah Alam. Dia berjanji akan jaga kebajikan saya.



”Dua hari selepas kembali dari Siam, Arif daftarkan perkahwinan kami di sini. Dia terus beritahu isterinya sudah berkahwin lagi dan kenalkan saya dengan tiga orang anaknya. Pendek kata Arif tunaikan segala janjinya termasuk membaikkan saya dan isteri pertamanya. Namun saya faham, wanita mana mahu terima madunya dengan mudah. Sebagai isteri kedua, saya terima dengan kesabaran.
”Sebenarnya Arif tidak sembunyikan perkahwinan kami. Isteri dan anak-anaknya tahu di mana saya tinggal kerana Arif sering bawa mereka ke rumah saya walaupun mereka tidak naik ketika Arif menghantar barang keperluan makanan kepada saya.

”Malah setelah mempunyai anak, Arif juga pernah bawa anak-anak saya ke rumah mereka. Tetapi sama ada keluarganya terima atau tidak saya tak tahu, kerana saya tidak melihatnya.
”Walaupun baru berkahwin lima tahun, tetapi saya sudah disediakan sebuah rumah dengan perabot serba sederhana. Arif mahu kami anak-beranak hidup selesa dalam sederhana.
”Sayangnya, umur orang yang baik ini tidak panjang. Arif meninggal dunia dalam waktu paling singkat. Dia tiba-tiba mengadu sakit, dibawa ke hospital dan terus meninggal dunia.
“Ketika jasadnya terlantar di rumah isteri pertama, saya tidak dibenarkan menziarah apatah lagi berada disisinya. Kehadiran saya tidak disukai oleh isteri dan anak-anaknya.

”Puas saya merayu tetapi tetap dihalang. Mereka enggan mengiktiraf saya sebagai isteri Arif dan anak-anak kami sebagai anaknya. Setelah berkeras, barulah dibenarkan.
”Tidak lama selepas pemergian Arif, masalah mula menimpa. Saya disuruh keluar dari rumah yang didiami bersama anak-anak. Anak-anak Arif dengan isteri pertama yang semuanya sudah berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri, enggan memahami masalah yang saya hadapi.
”Ke mana saya hendak pergi? Itulah sahaja harta yang ditinggalkan oleh Arif kepada kami anak-beranak. Arwah pernah berpesan supaya jangan sekali-kali tinggalkan rumah itu dan itulah yang menjadi pegangan saya. Jadi apabila saya dihalau keluar, saya bertahan.
”Oleh kerana tanah di atas tapak rumah ini luas maka Arif bina dua pintu rumah sewa untuk saya. Niatnya agar saya boleh besarkan dua anak kami dengan duit sewa kerana saya telah berhenti kerja ketika berkahwin dengannya.

”Bila saya fikirkan kembali saya dapat rasakan hasrat mulia Arif untuk berlaku adil kepada dua orang isteri dan anak-anaknya. Dia tak mahu saya ganggu keluarganya dan keluarganya juga jangan ganggu hidup saya, sebab dia telah membuat persediaan untuk kami.
”Malangnya setelah Arif meninggal, mereka halau saya keluar dari rumah ini. Dan mereka ambil duit sewa daripada rumah yang Arif bina khas untuk saya. Kata anak-anaknya, saya tak layak menerima apa juga harta pusaka peninggalan ayah mereka. Kerana saya baru kahwin dengan ayah mereka sedangkan mereka sudah lama hidup, mereka lebih berhak.

”Kerana saya enggan berpindah apa lagi keluar dari rumah ini, mereka bawa peguam untuk halau saya keluar. Mereka juga tidak benarkan saya membuat dan membina apa juga perubahan atas rumah kami. Nak bina apa? Sebab saya tak ada duit.
”Mereka tahu arwah ayah mereka bina dua buah rumah sewa ini untuk saya anak-beranak sebelum arwah meninggal dunia. Tetapi kalau semua pendapatan sewa mereka ambil, dari mana saya hendak ada duit untuk hidup. Saya terpaksa cari kerja.
”Puas saya merayu tetapi mereka tetap berdegil. Peguam mereka mendakwa jika saya bawa kes tuntutan harta pusaka ini ke mana-mana mahkamah syariah sekali pun, saya tidak akan menang, nasib tak baik saya juga akan dihalau keluar dari rumah ini. Saya terpaksa merayu agar tidak dihalau, nak ambil duit sewa ambillah, saya sanggup cari kerja untuk tanggung hidup kami anak-beranak.

”Anak-anak tiri saya minta saya tandatangan beberapa keping surat tetapi saya enggan sebab saya takut ditipu. Ke mana kami anak-beranak hendak pergi kalau jadi apa-apa? Saya tidak ada saudara-mara di Semenanjung. Kampung halaman saya nun jauh di Malaysia Timur. Saya benar-benar buntu.
“Ketika sedang susah itu, seorang teman baik ambil kesempatan atas ke****han dan kebuntuan saya. Janji nak tolong, tetapi dia menipu duit saya. Sudahlah duit sedikit, kena tipu pulak.
” Kini apa yang amat membimbangkan saya, peguam anak-anak tiri mahu jumpa saya sekali lagi. Saya tak tahu apakah kali ini saya akan dihalau keluar dari rumah ini. Saya cukup takut.
”Syukurlah baru-baru ini, kawan-kawan kumpulan Ibu Tunggal sanggup membantu mencarikan peguam untuk saya. Kepada Allah saya berserah dan memohon bantuan-Nya.

”Saya datang ke Semenanjung awal tahun 2000 mencari rezeki halal di kota ni. Ditakdirkan saya bertemu jodoh di sini. Adakah saya telah melakukan dosa besar?
”Saya mengaku saya memang daripada keluarga orang susah. Sebab itu saya beranikan diri datang ke sini sebaik sahaja habis sekolah, untuk mencari rezeki. Bagaimanapun bukan kerana hidup saya susah, saya cari orang berduit untuk dijadikan suami.

”Kata arwah perkahwinan pertamanya kerana memenuhi hasrat orang tuanya. Dia tidak membantah, malah bersyukur mendapat isteri dan anak-anak yang baik.
“Kini setelah dia dapat membahagiakan keluarganya, dia ingin memenuhi hasrat hatinya berkahwin dengan orang yang dia pilih sendiri. Arwah mahu memenuhi hasrat hatinya sebelum menutup mata,” demikian cerita Norashikin panjang lebar tentang nasibnya yang kini hilang tempat bergantung dan mungkin kehilangan rumah tempat berteduh sejak pemergian suami.

Sumber: Utusan

Related

Isu Semasa 5388482219208849333

Post a Comment

Hot in week

Recent

Comments

PELAWAT

Total Pageviews

item