Pededahan Mengejutkan Dari Darussyifa Mengenai Makhluk Halus Yang Kita Perlu Tahu!
http://themetropost.blogspot.com/2015/06/pededahan-mengejutkan-dari-darussyifa.html
SELAIN muncul dalam rupa bentuk yang menakutkan, makhluk halus jelmaan
jin dan syaitan juga mampu mendatangkan mudarat dengan cara rasukan dan
mendatangkan pelbagai penyakit ganjil.
Penolong Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, Huzaifah
Jalal Asnawi berkata, Allah berfirman di dalam Surah al-Baqarah ayat 10;
”Dan tidaklah mereka itu (makhluk-makhluk halus) memberi
kemudaratan sedikit pun kepadamu, mana-mana orang, melainkan dengan izin
Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya
membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka”
Beliau berkata, ayat tersebut jelas membuktikan bahawa kewujudan jin dan
syaitan serta keupayaannya mendatangkan mudarat kepada manusia
sekiranya diizinkan Allah.
“Sebagai musuh, syaitan memang suka mengganggu manusia. Mereka
boleh lakukan pelbagai bentuk gangguan termasuk yang memudaratkan.
“Sepanjang sembilan tahun dalam rawatan Islam, saya sudah tengok
bermacam-macam jenis gangguan makhluk halus, sebahagiannya yang datang
dari hutan.
“Jangan pandang ringan sebab ia boleh memudaratkan dan mesti
dipulihkan dengan kaedah rawatan yang betul,” ujar salah seorang perawat
Pusat Rawatan Kecil Darulsyiffa, Putrajaya itu.
Huzaifah berkata, jin dan syaitan mendampingi manusia melalui dua cara
iaitu dengan memilih sendiri manusia yang disukai dan mencari mangsa
mengikut apa yang diarahkan kepada mereka, iaitu melalui perbuatan
sihir.
Tambah beliau, antara golongan yang mudah terkena gangguan makhluk halus
adalah mereka yang berada dalam keadaan lemah, mengalami tekanan dan
kekusutan fikiran.
Mengenai gangguan makhluk halus di hutan, Huzaifah berkata, gangguan
boleh berlaku tanpa mengira tempat kerana jin dan syaitan wujud di
mana-mana sahaja.
Cuma kata beliau, agama Islam mengingatkan umatnya supaya berhati-hati
dan menjauhi beberapa tempat yang menjadi ‘tempat kegemaran’ jin dan
syaitan.
“Antaranya adalah tempat yang sepi, lembah, laut, rumah-rumah
kosong yang ditinggalkan, tempat yang berlubang (gua), tempat kotor dan
tandas.
“Kawasan yang sepi itu termasuklah kawasan hutan dan gunung-ganang yang terpisah jauh dari penempatan manusia,” katanya.
Sehubungan itu beliau menasihatkan mereka yang kerap melakukan aktiviti
di hutan supaya sentiasa melindungi diri dengan bacaan doa dan ayat
al-Quran sebelum masuk ke hutan.
“Masuk ke hutan boleh tapi berhati-hati sebab kedatangan kita mungkin mengganggu kawasan mereka,” ujar beliau yang menjalankan perkhidmatan rawatan Islam di Surau Wahbah Zuhaily, Presint 18, Putrajaya pada setiap malam Sabtu.